Latest Entries »

PENGUMUMAN…

AT-10-TION!!!

Assalamualaikum w,b,t,..

Kepada,

Mahasiswa dan Mahasiswi Pengajian Islam Dakwah Semester 1 2010/2011.

PERSATUAN MAHASISWA PENGAJIAN ISLAM DAKWAH (PERSADA) UniSZA AKAN MENGADAKAN PROGRAM PENGENALAN KEPADA PERSATUAN DAN JABATAN DAKWAH KEPADA SEMUA.

OLEH ITU, ANDA DIWAJIBKAN MENGHADIRI PERJUMPAAN YANG AKAN BERMULA SEBAGAIMANA BUTIRAN BERIKUT :

TARIKH : 22 JULAI 2010

HARI      : KHAMIS

MASA    : 07.15 PETANG (MAGHRIB)

TEMPAT : MUSOLLA (SURAU) SAODAH

SEGALA PERHATIAN DAN KOMITMEN DARIPADA ANDA AMATLAH DIHARAPKAN DAN DIHARGAI UNTUK SEBUAH SILATURRAHIM YANG DITUNTUT DALAM ISLAM.

SEKIAN TERIMA KASIH,

-UNIT TEKNIKAL & PUBLISITI

PROGRAM MAFATIHUL MAHABBAH,

PERSATUAN MAHASISWA PENGAJIAN ISLAM DAKWAH, UniSZA.

Iklan

JANGAN KITA TERGOLONG ORANG YANG MERUGI

Kehidupan manusia adalah bergantung kepada penggunaan masanya. Oleh itu, Islam amat mengambil berat tentang masa dan memberitahu manusia bahawa setiap detik masanya adalah amat berharga. Sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya nilai masa dalam Islam dengan Allah sendiri bersumpah dengan masa dalam firmanNya yang selalu didengar;

Maksud Firman Allah s.w.t. :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (al-‘Ashr : 1-3)

Dalam ayat di atas Allah bersumpah dengan masa bagi menunjukkan kepada manusia sekaliannya bahawa masa menjadi saksi terhadap berjaya atau gagalnya manusia, untung atau ruginya mereka. Manusia yang berjaya dan beruntung ialah manusia yang memanfaatkannya masanya di dunia (untuk beriman, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya bagi bekalan ke akhirat) dan manusia yang gagal dan rugi ialah manusia yang mensia-siakan masanya.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda :

اغتنم خمسا قبل خمس: حياتك قبل موتك، وصحتك قبل سقمك، وفراغك قبل شغلك، وشبابك قبل هرمك، وغناك قبل فقرك

“Manfaatkanlah lima masa sebelum datang lima masa; 1) Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu. 2) Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu. 3) Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu. 4) Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu.. 5) Masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin.”

Manfaatkanlah peluang masa cuti ini dengan sebaiknya. Ilmu itu bukan setakat untuk peperiksaan semata-mata akan tetapi harus diulang-ulang agar faham, kemudian amal dan seterusnya sampaikan…

“Sebaik-baik kamu adalah yang memberi manfaat kepada orang lain…”

SELAMAT BERCUTI, SELAMAT BERAMAL, SELAMAT BERBAKTI, SELAMAT BERKHIDMAT, SELAMAT BERPROGRAM, SELAMAT BERKERJA, SELAMAT, SELAMAT DAN SELAMAT…

SALAM IMTIHAN…

Selamat menghadapi Imtihan akhir semester semua sahabat-sahabat mahasiswa Universiti Darul Iman Malaysia Terengganu yang akan bermula pada 18 April 2010. Sedikit perkongsian dalam fatrah imtihan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan…

IMTIHAN DUNIA VS IMTIHAN AKHIRAT

Maksud Firman Allah s.w.t. :
“Maha Suci Allah yang menguasai segala kerajaan , dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan DIA Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (al-Mulk : 1-2)

Maha suci Allah, Maha Agung Allah yang menciptkan segala makhluk secara berpasang-pasangan. Siang dan malam, pagi dan petang, besar dan kecil, tinggi dan rendah, baik dan buruk, hidup dan mati, syurga dan neraka, lelaki dan wanita, dunia dan akhirat serta banyak lagi….

Jika kita sama-sama merenung sejenak dan cuba membuat sedikit penelitian dalam ayat ini yang mana Allah s.w.t. mendahulukan kalimah al-maut daripada al-Hayah. Adakah secara kebetulan atau hikmah disebaliknya. Melihat kepada kitab-kitab tafsir kita mungkin akan bertemu dengan jawapan bahawa adalah kerana kematian itu lebih susah dihadapi berbanding kehidupan ini.

Bagaimana pula gambaran di dunia ketika mana kita menghadapi imtihan. Bila mana manusia tahu waktu dan tarikh peperiksaan, maka berlumba-lumbalah para pelajar untuk mengulangkaji, menghafal dan sebagainya sedangkan tarikh itu tidak mustahil boleh berubah dan juga boleh jadi dibatalkan. Dalam masa yang sama kita tahu bahawa imtihan akhirat (kematian) itu suatu perkara yang pasti Cuma masanya kita tidak ketahui… apa pula persediaan kita untuk menghadapinya.

Imtihan dunia kita berbekalkan dengan hafalan, kefahaman dan alat-alat tulis kita, imtihan akhirat pula berbekalkan amalan yang ikhlas lagi bertepatan dengan syariat Allah s.w.t. Persediaan untuk menghadapi imtihan dunia mungkin di kalangan kita telah pun ada yang sempurna kelengkapannya, namun bagaimana dengan keperluan berhadapan dengan imtihan akhirat? Kita fikir-fikirkan…

Natijah daripada imtihan dunia kita akan dapat menilai dan melihat melalui persepsi sebagai manusia bahawa, mereka yang memiliki keputusan yang baik adalah mereka yang lebih baik usahanya dalam belajar dan manakala yang kurang baik adalah mereka yang kurang belajarnya. Begitu jugalah natijah imtihan akhirat. Siapa yang Berjaya melaluinya dengan baik merekalah golongan yang lebih baik amalannya, makanya baginya ganjaran syurga Allah dan manakala mereka yang terkandas pasti bakal terheret ke neraka adalah mereka yang bermain-main dengan kehidupannya. Na’uzubillah…

MARI MENGORAK LANGKAH

Kejayaan kita dalam imtihan dunia akan datang adalah terletak pada usaha dan kesungguhan kita pada hari ini . Begitu pula halnya kejayaan kita dalam imtihan akhirat yang pasti kita hadapi Cuma tidak pasti bila waktunya adalah terletak pada usaha dan kasih saying Allah pada kita. Persoalan utamanya adalah matlamat kita telah pun ada, imtihan dunia untuk lulus dengan cemerlang dan imtihan akhirat untuk memperoleh redha Allah dan ganjaran syurganya jadi, binalah strategi dan disiplinkan diri dengannya serta beristiqomah padanya menuju ke arah matlamat yang ingin dikecapi.
Namun seandainya pada ketika ini matlamat masih kabur, pasti jalannya juga akan menjadi kabur yang akhirnya menggelincirkan kita dari jalan yang sebenar. Oleh itu berwaspadalah kita dengan apa yang ada disekeliling kita. Dunia ini persinggahan sebagai ladang tanaman untuk menyemai benih amalan yang hasilnya bakal kita tuai di akhirat kelak. Imtihan dunia dan imtihan akhirat zahirnya mempunyai persamaan namun hakikatnya ada perbezaan yang mana perbezaan itu hanya mampu dilihat oleh mereka yang memiliki bukan sahaja mata indera yang celik tapi juga mempunyai mata hati yang celik.

Bersungguh dalam membuat persediaan menghadapi imtihan dunia engkau akan dapat hasilnya di dunia. Manakala bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk menghadapi imtihan akhirat juga pastinya akan engkau perolehi ganjarannya di akhirat. Namun, ramai orang yang Berjaya dalam imtihan dunia belum tentu Berjaya dalam imtihan akhirat akan tetapi kebiasaanya orang yang Berjaya dalam imtihan akhirat adalah juga mereka yang Berjaya dalam imtihan semasa di dunia dahulu.

من حسنت بدايته حسنت نهايته
“Sesiapa yang elok pada permulaannya lazimnya akan elok juga kesudahannya.”

Salam Imtihan buat semua…

p/s : Usaha, doa dan tawakal dalam segala amal perbuatan insyaAllah mudah-mudahan kita semua dipermudahkan segala urusan… Aameen…

Ketika mula-mula saya mendaftar dan menyertai laman rangkaian sosial Facebook, saya tertarik dengan satu fungsi dalam aplikasi ‘Photos‘ yang dikenali sebagai ‘Tagging‘. Mungkin dalam Bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai ‘penandaan’.

Fungsinya, pengguna Facebook yang muat naik gambar ke dalam album fotonya boleh melakukan ‘tagging‘ iaitu menanda pengguna-pengguna lain yang ada dalam gambar tersebut. Aturannya ringkas, semudah ABC, dan hasilnya gambar-gambar yang ditanda itu secara automatik akan masuk dalam senarai ‘Photos of‘ bagi pengguna lain yang ditanda.

Menariknya fungsi ‘tagging‘ dalam aplikasi ‘Photos‘ ini, ialah semua gambar-gambar yang dilakukan tagging kepada seseorang pengguna akan terkumpul di bahagian ‘Photos‘ di profile nya. Mungkin pengguna tersebut tidak pernah mempunyai atau melihat gambar yang ditagkan itu. Tetapi ‘tagging‘ membantu pengguna mendapatkan dan mengumpulkan gambar-gambarnya yang ada pada orang lain. Itu dari sudut positifnya.

Dari sudut yang lain, tagging adalah satu operasi penyebaran gambar kepada khlayak pengguna Facebook secara berleluasa. Lagi banyak nama-nama yang ditag pada satu-satu gambar, bererti makin ramai pengguna yang dapat melihat gambar tersebut. Contohnya, satu gambar ditagkan kepada 10 pengguna, dan setiap pengguna secara purata mempunyai 200 orang kawan atau ‘friends‘. Bererti sekurang-kurangnya 2000 pengguna dapat menatap gambar tersebut.

Jadi apa masalah dengan penyebaran gambar ini? Masalahnya ialah apabila gambar yang ditagkan kepada ramai pengguna itu mengandungi unsur yang tidak baik. Contohnya, pendedahan aurat atau lain-lain kandungan yang mengaibkan dan menjatuhkan maruah.

Saya sedih melihat sebahagian rakan-rakan pengguna Facebook yang makin terhakis rasa malunya. Tidak segan memuat naikkan gambar-gambar yang mendedahkan aurat lagi mengaibkan. Yang lelaki meletakkan gambarnya tanpa berbaju, memperagakan pusatnya, berseluar pendek, menampakkan pehanya. Yang perempuan meletakkan gambar sekumpulan anak dara waktu di asrama wanita dengan masing-masing berpakaian tidur mendedahkan rambut dan aurat lain.

Kemudian, gambar-gambar mengaibkan ini disebarkan pula dengan cara tagging kepada pengguna lain seberapa ramai yang boleh. Sekurang-kurangnya dia telah melakukan dua kesalahan.

Pertama: Memuat naikkan gambar yang mendedahkan aurat, dan memberi peluang kepada pengguna lain dari kalangan rakan-rakannya menatap gambar-gambarnya yang mendedahkan aurat. Hukumnya, rata-rata ahli fatwa berautoriti pada zaman kini berpendapat memperlihatkan gambar mendedahkan aurat kepada orang lain adalah haram. Ia termasuk dosa bantu-membantu dalam perkara maksiat.

Kedua: Menyebarkan gambar tersebut kepada rakan-rakan pengguna lain melalui fungsi ‘tagging‘, mendedahkan lagi gambar tersebut kepada khalayak pengguna yang lebih ramai. Dosanya lebih besar, kerana dia menjadi penyebab kepada berleluasanya satu maksiat kepada Allah. Kaedah dalam agama menyatakan orang yang menunjukkan kepada satu kejahatan, akan dibebankan dengan dosa tersebut dan dosa orang yang melakukannya.

Amat malang orang yang dibebankan dengan dosa yang banyak lagi berterusan, disebabkan oleh perbuatannya menyebarkan gambar yang demikian.

Saya menyeru kepada semua rakan-rakan pengguna Facebook, jika ada gambar-gambar yang dimuat naikkan mengandungi unsur yang mendedahkan aurat dan mengaibkan, wajarlah ia dipadam. Jangan memandang perkara ini satu isu remeh. Kerana resam orang beriman, melihat satu dosa umpama gunung yang hampir menghempapnya. Sebaliknya resam orang kafir, melihat satu dosa umpama lalat yang hinggap di batang hidungnya.

Kredit untuk Hasanhusaini.com

Bersama Ulamak…

datanglah beramai-ramai, rebut peluang bersama dengan Ulamak

Hubungan hati dan akal

Kekuatan akal mempunyai hubungan yang kuat dengan hati manusia sehingga kita akan dapat menemui di dalam al-Quran dan hadith serta sirah salafussoleh yang memperihalkan mengenai keadaan ini.

Maksud firman Allah s.w.t. :

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang ada di dalam dada.” (al-Hajj : 46)

Maksud sabda Nabi s.a.w. :

“Akal itu adalah cahaya dalam hati yang dapat membezakan antara yang benar dan yang palsu. Ketahuilah bahawa, perbandingan akal dalam hati adalah seperti perbandingan lampu di dalam rumah.”

Al-Imam al-Syafie pernah mengeluh dan bersedih menanggung kesan dan akibat maksiat yang beliau rasakan dalam hatinya, beliau mengadu kepada Waki’ (salah seorang guru beliau) dalam untaian syairnya:

”Aku mengadu kepada Waki’mengenai buruknya hafalanku; beliau memberi petunjuk kepadaku agar aku meninggalkan maksiat; Beliau berkata: Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya; sedangkan cahaya Allah tidak mungkin diberikan kepada pelaku maksiat.”

Menurut Imam al-Ghazali :

“hati itu ibarat cermin, apabila terang cerminnya, maka teranglah segala maklumat atau ilmu pengetahuan yang diterima.”

Maksiat melemahkan kekuatan hati

MAKSIAT memiliki pengaruh bahaya dan buruk bagi hati serta fizikal manusia.

Antara pengaruh buruk serta bahaya dosa, ia akan memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati. Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman.

Imam Malik berkata:

“Aku melihat Allah meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.”

Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.”

Rezeki tidak lancar

Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.” Seperti ketakwaan kepada Allah mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran.

Keterasingan antara Allah

Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu.

Ada seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.”

Keterasingan antara manusia

Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan.

Allah akan menyulitkan urusannya

Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada takwa disulitkan urusannya.

Kegelapan dalam hati

Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedari.

Maksiat melemahkan kekuatan hati

Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya.

Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka.

Malas mengerjakan ibadat

Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah nilainya melebihi dunia dan segala isinya.

Terbiasa berbuat dosa

Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri.

Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Banyak melakukan dosa membuatkan hati seseorang itu rosak kerana bercampur antara baik dan buruk. Maka jadilah hatinya seperti yang pernah disabdakan Nabi s.a.w. yang bermaksud :

“(Hati yang) tidak lagi menganggap baik perkara yang baik dan tidak menganggap buruk perkara yang buruk melainkan apa yang disukai oleh hawa nafsunya.”

Akhir Kalam,

Mari kita sama-sama menyelami hakikat Buta dan Celik menurut perspektif al-Quran dan as-Sunnah serta para salafussoleh agar kita lebih berhati-hati terhadap kelalaian dan sifat tidak mengambil peduli mengenai perihal dosa atau maksiat ini.

Buta mata indera celik mata hati vs Celik mata indera buta mata hati

Maksud firman Allah s.w.t. :

Sesungguhnya penglihatan (mata kasar) itu tidaklah buta, tetapi yang buta itu ialah (mata) hati yang ada di dalam dada.” (al-Hajj : 46)

Orang yang celik mata hati dapat melihat arah, tujuan, jalan, bekalan, dorongan, halangan dan akhiran hidupnya menurut pandangan pencipta-Nya.

Maksud firman-Nya :

“Dan tidaklah aku ciptakan (makhluk) dari kalangan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-KU.” (Adz-Dzaariyaat : 56)

Seseorang yang telah sedar akan hakikat ini akan memiliki satu dorongan yang menggelodak dalam fikiran, jiwa dan emosinya yang menuntut pada perubahan. Kesedaran adalah gerbang awal ke arah perubahan diri. Manusia umpama orang yang sedang tidur, tidak mungkin kita boleh terus mengajaknya bertindak tanpa mengejutkannya terlebih dahulu.

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu member manfaat kepada orang-orang beriman. (Adz-Dzaariyaat : 55)

Universti : Antara Sijil dan Amanah keilmuan?

Pandangan mata yang celik menjurus kea rah memperoleh sijil samada diploma ataupun Ijazah.

Pandangan mata hati yang celik akan lebih memfokuskan kepada amanah keilmuan iaitu mempelajari, menghayati, mengamalkan dan seterusnya menyampaikan.

Jika kedua-duanya celik, andalah yang bakal menjadi insan yang terbaik, cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan di akhirat. InsyaAllah…

kita berada di golongan yang mana?

tepuk dada, rasakan dekat hati, tanya iman…

Apa khabar iman aku hari ini?

Wallahu a’alam…

IMAM MUDA

Sebuah program Astro Oasis, memecah tradisi satu penemuan… sebuah perjalanan kehidupan, Setelah mencipta sejarah penyiaran, menjadi saluran TV pertama di rantau ini dengan siaran berita secara langsung dari Kota Suci Mekah sepanjang musim Haji tahun lalu, kini saluran gaya hidup Islam, Astro Oasis (saluran 106) terus mengorak langkah apabila menghasilkan sebuah lagi program memecah tradisi dengan rancangan terbaru IMAM MUDA!

IMAM MUDA adalah sebuah program siri pencarian tentang sekumpulan remaja lelaki Islam yang dihasilkan oleh Astro dengan bantuan dan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertujuan untuk mencari Imam Muda yang terbaik di Malaysia.

Individu yang terpilih bakal dihimpunkan di sebuah asrama selama tiga bulan bagi mempelajari dan memahami tentang hal-hal keagamaan dan kepimpinan Islam dari tokoh-tokoh ugama serta pendakwah dan pemimpin Islam terkemuka yang bertauliah dan berpengalaman.

Bakal Imam-Imam Muda ini akan menjalani dan mengikuti jadual ketat, peraturan agama, tugas rutin dan pemahaman khusus mengenai tugas-tugas seorang Imam, pemimpin keluarga dan selaku pemimpin masyarakat setempat.

Kesemua individu ini bakal diuji setiap minggu dengan latihan amali, praktikal dan tajuk-tajuk agama serta kemasyarakatan dan kepimpinan.

Yang Berhormat Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Hj Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut hadir menyempurnakan majlis pelancaran memuji pihak Astro yang berani dalam membuat pelaburan yang besar bagi memartabatkan elemen keagamaan di sebuah stesen penyiaran yang berprestij dan bertaraf dunia seumpama ini.

“Saya melihat program siri pencarian IMAM MUDA ini nanti bukan sahaja akan berupaya untuk mengukir paradigma baru dalam alternatif hiburan bercorak keagamaan di negara kita tetapi juga dapat mengangkat martabat dan profesyen Imam itu sendiri di mata masyarakat.

Saya juga penuh optimis bahawa program ini dapat menatijahkan keputusan yang optimum kepada semua pihak dan percaya ia dapat menarik minat ramai anak-anak muda malahan golongan dewasa juga ke arah mendalamai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kepimpinan masyarakat serta corak dan gaya penerbitan yang lebih interaktif dan menarik,” kata YB Dato’ Seri Jamil.

Pengarah Eksekutif ASTRO Entertainment Sdn Bhd; Tuan Hj Zainir Aminullah berkata, “Sejajar dengan visi kerajaan untuk mengembangkan dan memantapkan lagi industri komunikasi dan multimedia, Astro amat gigih dalam mengumpul dan mencipta pelbagai pengisian kandungan tempatan di Malaysia melalui salurannya yang pelbagai.”

“Jangka usia Astro Oasis yang bakal memasuki tahun ketiga pada bulan Oktober tahun ini telah memberi aspirasi kepada kami untuk mengadakan sebuah program siri pencarian yang terulung dan seumpamanya kerana ingin terus memainkan tanggungjawab sebagai pelopor saluran gaya hidup famili Islam dalam menyampaikan nilai-nilai positif dari sudut kerohanian dan pengetahuan.

Tercetusnya evolusi untuk menerbitkan program seperti IMAM MUDA adalah di antara testimonial kami menerbitkan program-program ilmiah dan tidak tertumpu kepada elemen hiburan semata-mata.

Hasrat kami dalam penerbitan IMAM MUDA ialah untuk memberi platform agar dapat memartabatkan status Imam dan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebenar yang perlu dipikul serta menjadi pemangkin kepada kelahiran Imam muda yang versatil dan relevan kepada komuniti,” tambah Zainir lagi.

Di antara insentif menarik yang bakal menanti Juara IMAM MUDA ialah penajaan penuh biasiswa di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi dan tawaran sebagai jawatan Imam di salah sebuah masjid utama di Wilayah Persekutuan berserta sebuah kereta.

Bukan itu sahaja, Juara IMAM MUDA juga bakal membawa pulang wang tunai RM20,000 dan sebuah komputer riba Apple Macpro di samping pakej menunaikan haji.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pelapis dan penyambung warisan serta memikul tanggungjawab sebenar sebagai seorang Imam, anda dijemput hadir sesi temuduga yang akan diadakan seperti berikut dari jam 8.00 pagi hingga 1 petang:

26 – 27 Mac 2010 – Pusat Pentadbiran Islam Negeri,Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu Terengganu

2 – 3 April 2010 – Masjid Zahir Negeri Kedah, Alor Setar, Kedah

10 -11 April 2010 – Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, Johor

17 – 18 April 2010 – Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur

Sesi Ujian dan temubual ini terbuka kepada semua lelaki berwarganegara Malaysia yang beragama Islam dan berusia di antara 18 – 27 tahun. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar 4R di samping boleh membaca Surah Al-Fatihah, Surah Lazim dan mempunyai pengetahuan agama Islam.

Siri pencarian IMAM MUDA ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro OASIS (saluran 106) bermula 27 Mei 2010. Butir-butir lanjut mengenai program-program akan diumum pada sidang media akan datang.

Tags: Astro

Rasulullah s.a.w. memulakan jihadnya melalui dakwah dan tarbiyah, bukan terbentuk secara tiba-tiba atau kebetulan tanpa apa-apa persediaan dan pembentukan bahkan rasulullah s.a.w. menghadapi berbagai kesukaran dan halangan dan terus berjihad sehingga terbentuk satu ummah yang terpuji sebagai khaira ummah di abadikan dalam al-Quran ayat 110 surah Ali-Imran yang bermaksud :

“Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk maunusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Ali-Imran : 110)

Rasulullah s.a.w. mula berdakwah dan membentuk ummah sejak di zaman mekah lagi. Baginda mendidik (mentarbiyah) sekumpulan Jamaah mukminin yang menjadi benih terbentuknya masyarakat yang baru (berbeza daripada masyarakat jahiliyah). Ketika rasulullah s.a.w. membentuk jamaah mukminah di Makkah pada masa itu. Baginda s.a.w. menyedari bahawa peranannya lebih besar daripada Mekah dan Semenanjung Arab dan Risalah yang Baginda bawa bukan semata-mata khusus untuk satu bangsa dan satu generasi bahkan risalahnya bersifat sejagat (‘Alamiyah) dan halatujunya menghapuskan jahiliyah dan membina insaniah yang baru, menepati prinsip-prinsip al-Quran dan ajarannya.

Ketika Baginda s.a.w. menjadikan kota Makkah sebagai markas dakwahnya, Baginda tidak memulakan dengan membentuk daulah yang terdiri dari pembesar-pembesar Quraisy bagi menundukkan seluruh orang Arab dan memaksa mereka menerima prinsip-prinsipnya dengan kekerasan. Baginda tidak melakukan demikian kerana baginda bukan di utuskan untuk menghapuskan kerosakan dengan mengundang kerosakan yang lain dan bukan untuk memaksa masyarakat menerima dakwahnya dengan kekerasan tetapi baginda di utuskan untuk menyampaikan risalah Allah s.w.t. dan mengajak semua manusia dengan penuh hikmah serta dengan peringatan-peringatan yang baik serta sabar bersama-sama orang-orang yang beriman membentuk jamaah yang menjalankan kerja-kerja islah agar mereka menjadi asas yang kukuh bagi kelahiran masyarakat (generasi) baru (generasi mukminin).

Rasulullah s.a.w. memberi penekanan kepada Tarbiyah akhlak dan budi pekerti berteraskan keimanan/tauhid kerana inilah asas sebenarnya bagi pembinaan ummah yang menjamin masyarakat dan daulah daripada berlaku penyelewengan, kezaliman dan kerosakan. Undang-undang semata-mata belum cukup untuk mebina ummah tanpa dididik jiwa dan akhlak masyarakat.

Sehubungan dengan ini al-Quran telah menegaskan dalam surah ar-Ra’du ayat 11, maksudnya :

“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak merubah sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain DIA. (ar-Ra’du : 11)

Pengarang kitab Al-Jihad Fil Islam menjelaskan bahawa inilah jalan membentuk dan membina ummah serta membangunkan tamadun dan kemajuan. Pengislahan masyarakat tidak akan sempurna melainkan dengan dimulakan dengan jiwa masyarakat itu sendiri… kerana itu medan dakwah Islam yang pertama dan utama adalah ‘alam jiwa’ dan metodya yang pertama dan utama untuk sampai kepada matlamat ialah tarbiyah. Bermula dengan peringkat pengenalan, pembentukan dan medan aplikasi. Individu, Keluarga dan Masyarakat.

“Bergerak Seiring Meneraju Perubahan”

MUKTAMAR 2010

Alhamdulillah, kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah s.w.t. kerana dengan keizinan-Nya serta limpah kurnia Muktamar Tahunan Persatuan Mahasiswa Pengajian Islam Dakwah dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana dan juga kepada semua ahli persatuan yang hadir di atas sokongan yang telah ditunjukkan serta komitmen yang telah diberikan.

Perjalanan Muktamar :-

Sesi Pertama :- Majlis Perasmian

1. Aluan pengerusi
2. Ucapan Mantan YDP Persada 08/09
3. Amanat dan Ucapan Perasmian
4. Tayangan Slide Pimpinan Baru
5. Penyampaian Cenderahati

Sesi Kedua :- Muktamar

1. Ucapan Mantan YDP
2. Pembentangan Laporan Gerak Kerja Oleh Mantan S/U Agong
3. Pembentangan Laporan Kewangan Oleh Mantan Bendahari
4. Sesi soal Jawab
5. Peralihan dan penyerahan tugas antara pimpinan lama dan baru
6. Sesi Usul dan cadangan Kepada Pimpinan Baru

Amanat Perasmi Dr. Berhanundin bin Abdullah,

– Mahasiswa dakwah harus menghayati serta mengambil perhatian tentang peranan dan tanggungjwab persatuan dengan memahami bahawa muktamar sebegini merupakan salah satu proses yang perlu dilalui demi mewujudkan satu kesinambungan Gerak Kerja Dakwah dalam konteks Mahasiswa dan Persatuan.

– Melalui Persatuan seharusnya kita dapat menunjukkan Imej Jabatan yang sebenar bukan hanya slogan sebagaimana kebanyakan orang generasi hari ini yang menjadikan kedatangan Rasulullah s.a.w. ke muka bumi ini hanya cukup dengan sekadar slogan semata-mata.

– Menjadikan Persatuan sebagai medium atau wasilah untuk melihat, mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan mahasiswa.

– Bergiat serta member komitmen agar dapat member input kepada Jabatan sendiri.

– Mewujudkan ikatan yang kuat di antara ahli yang dapat dijelmakan dalam program-program yang dianjurkan melalui keterlibatan dan kehadiran ahli dalam setiap program.

– Melaksanakan aktiviti berdasarkan bulan dan peristiwa yang berkaitan agar lebih penghayatan.

Sesi Soal Jawab,

Kehangatan dalam sesi ini menunjukkan bahawa mahasiswa dakwah begitu prihatin dan mengambil berat mengenai peranan dan tanggunjawab persatuan dalam konteks semasa. Persoalan-persoalan yang dikemukakan janganlah dianggap sebagai satu kritikan tetapi anggaplah ianya sebagai satu saranan dan cabaran untuk lebih cemerlang dan berhati-hati dalam apa jua tindakan yang ingin diambil.

Sesi Usul dan Cadangan untuk Kepimpinan Baru,

Semangat yang ditunjukkan ahli dalam sesi ini menunjukkan bahawa mereka mengharapkan seuatu daripada kepimpinan yang perlu di ambil perhatian. Sebagai pemimpin, perkara-perkara ini insyaAllah akan diambil perhatian. Pemimpin ini boleh kita ibaratkan sebagai ibu/bapa/penjaga kepada Mahasiswa di Universiti menurut kapasiti tersendiri. Oleh yang demikian kebajikan mereka perlu di ambil perhatian. Namun, janganlah kebajikan itu ditafsirkan hanya dari aspek material semata-mata, kerana kebajikan itu merangkumi dunia dan akhirat.

Perkara-perkara yang perlu di ambil perhatian,

– Halaqah ilmu perlu diteruskan dengan melibatkan semua ahli bukan pelajar baru sahaja.

– Mewujudkan blog. (p/s-wujud saja x cukup kena Up To Date)

– Melaksanakan Program Khidmat Masyarakat.

– Mantapkan Ukhuwah Barisan Pimpinan dan ahli.

– Dll.

Sekadar berpesan-pesan,

Buat shabat dan sahabiah yang sejalan, yang beriman kepada Allah s.w.t. dan kufur terhadap taghut. Izinkan saya mengajak kalian untuk mengimbas kembali sirah yang termaktub di dalam al-Quran yang mengisahkan Nabi ‘Isa alaihi salam dan golongan hawariyyun… Maksud firman Allah s..w.t. :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (ugama) Allah sebagaimana (Keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?” mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (ugama) Allah!” (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang Yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang Yang menang.” (as-Saff : 14)

Demikianlah halnya, gambaran buat mereka yang benar-benar beriman kepada Allah. Dengan berakhirnya majlis muktamar kita bukanlah bermakna berakhirlah segalanya. Tetapi ianya merupakan titik permulaan kita ke arah melangkah ke peringkat yang seterusnya. Pihak pimpinan tidak akan mampu pergi jauh tanpa sokongan dan dokongan daripada ahli. “Siapalah kami tanpa kalian, dan siapalah pula kalian tanpa pimpinan.” Pointnya nak bagitau di sini adalah kita saling memerlukan antara satu sama lain.

Teruskan menyokong kami…

Terima kasih teramat sangat kami ucapkan kepada semua yang telah menyuarakan usul dan cadangan serta penambahbaikan untuk persatuan. Adakalanya kita tidak menyedari akan kesilapan yang kita sendiri lakukan. Akan tetapi dengan adanya semangat persaudaraan dan kesatuan ini, kita mampu untuk berkongsi dan saling memperbaiki antara satu sama lain dalam naungan kasih dan redha Allah serta untuk Islam agama kita yang tercinta. Kita mengkritik bukan kerana apa, tetapi untuk menjana satu kehidupan yang lebih baik di masa akan datang. “jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih sempurna dari hari ini.” Sempurnakan Harimu..

“Islam tidak tertegak tanpa organisasi (jamaah), Organisasi (jamaah) tidak ada faedahnya tanpa adanya kepimpinan, kepimpinan pula tidak ada gunanya tanpa ketaatan daripada ahli (orang bawah kepimpinannya).”
“Memantapkan Tarbiyah, Memperkasakan Dakwah”

Kami berbangga mempunyai ahli seperti kalian… Sekian.

*P/S : Gambar-gambar pada malam Muktamar.

Siapakah orang Muslim itu?

Insan yang tercermin dalam dirinya Islam sebagai agama dan cara hidupnya dari sudut aqidah, ibadah dan akhlaknya menepati tuntutan Islam dalam segenap aspek kehidupannya.

Generasi Muda peringkat kekuatan

Merupakan generasi pertengahan umur manusia yang mencerminkan peringkat kemampuan dan kekuatan yang hangat laksana matahari yang berada dipertengahan langit pastinya sinarnya lebih kuat dan lebih panas dari sebelum dan selepasnya.

Generasi Muda pembawa risalah-risalah

Allah menceritakan kepada kita di dalam kitab-Nya al-Quran :

“Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam keadaan takut bahwa Fir’aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka…” (Yunus : 83)

“Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah pula untuk mereka petunjuk”(al-Kahfi : 13)

“Mereka berkata: “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini yang bernama Ibrahim “. (al-Anbiya’ : 60)

Teladan-teladan hebat buat generasi muda

Ismail ‘alaihi salam & peristiwa sembelihan :

“Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. (as-Shaaffaat : 102)

Yusuf ‘alaihi Salam dan dugaan syahwat:
i. Ketaqwaan kepada Allah mampu mengusir syahwat

“Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu, seraya berkata: “Marilah ke sini.” Yusuf berkata: “Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan beruntung.” (Yusuf : 23)

ii. Tidak mudah terpengaruh dengan rayuan, ajakan dan ancaman.


“Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela Aku Kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, niscaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina.”

“Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.” ( Yusuf : 32-33 )

Nabi s.a.w. mengajarkan kepada kita agar mengatakan :

“Ya Allah, janganlah Engkau menjadikan musibah kami dalam agama kami, janganlah Engkau menjadikan dunia sebagai kepentingan kami yang lebih besar dan tumpuan ilmu kami”

(HR. Tarmidzi & Hakim dari Ibnu ‘Umar) – Sohih Jami’ al-Shoghir.

Sebenarnya, ada banyak lagi teladan-teladan yang dapat dimanfaatkan oleh generasi muda pada hari ini. Namun apa yang menjadi realiti, kita sendiri mampu melihat, mentafsir dan menilai jika kita menyedari yang demikian itulah yang seringkali Allah peringatkan dengan suruhan agar kita berfikir, mentadabbur dan seterusnya beramal.

Demikianlah, mereka ini teladan generasi Muda buat generasi kita… bagaimana dengan kita untuk generasi akan datang?

Persoalan yang sama-sama kita fikir-fikir dan renungkan jika kita masih tergolong dalam golongan yang mengaku beriman… (Insya Allah, Aameen…)

Teringat suatu ketika, tatkala sang Pujangga Islam Abdullah Ibn Rawahah r.a dengan kesedaran Iman yang tinggi sambil membimbing tangan Abu Darda’ r.a dan berkata :

“Marilah beriman sesaat”

Izin saya untuk mengajak sahabat dan sahabiah dengan mengulangi lafaz yang sama “marilah beriman sesaat” walaupun antara kita dan mereka punya jurang yang cukup dalam dari sudut kesedaran iman… moga sama-sama beroleh manfaat…
EMPAT KEWAJIPAN GENERASI MUDA ISLAM

Memahami Islam secara sahih

Jika zaman lampau manusia ingin menambahkan sesuatu ke atas Islam dalam aqidah-aqidah dan mu’amalat-mu’amalatnya. Maka di zaman ini, manusia hendak mengurangkan Islam dan mengeluarkan daripada Islam banyak perkara yang termasuk dari pengajaran dan hukum-hakamnya. Mereka ingin Islam tanpa jihad, islam tanpa sempadan atau batasan, tidak perlu rejam orang yang berzina atau menyebat peminum arak dan sebagainya.

Menjadi peranan buat generasi muda pada hari ini untuk meletakkan perkara-perkara tersebut pada tempatnya masing-masing, mendahulukan perkara-perkara yang berhak di dahulukan, dan mengakhirkan perkara yang berhak di akhirkan kerana ajaran Islam tidak berada pada satu darjat.

Di sana terdapat perkara-perkara berikut :

  • Aqidah iaitu asas-asas Islam
  • Fardhu-fardhu yang menempatkan rukun Islam
  • Kewajipan-kewajipan fardhu ain dan kifayah
  • Perkara dan amalan sunat
  • Syirik dan pembahagiannya
  • Kedudukan dosa kecil dan dosa besar DLL.

Oleh itu, wajib mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama dan pokok dalam agama.

  • Mengasaskan aqidah-aqidah
  • Menegakkan fardhu-fardhu tidak boleh diremehkan
  • Dosa-dosa besar wajib dicegah dengan segenap kemampuan
  • Mempelajari dan memahami agama agar mengetahui peringkat-peringkat pengajaran Islam bagi diri dan orang lain.
  • Memahami dan peka dengan situasi dan posisi masing-masing.

Justeru, seharusnya kita mengetahui baik dalam memahami Islam hendaklah mengambil Islam dari sumbernya yang murni iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Tidak diragukan lagi terdapat banyak perkara-perkara yang merosakkan kebudayaan Islam seperti Israiliyyat, riwayat-riwayat hadith Dhoif, hadith-hadith palsu, sikap Guluw dan penyelewengan akal fikiran yang datang akibat percampuran kaum muslimin dengan lainnya dari agama, kepercayaan, bangsa-bangsa serta tabiat manusia.

Maka, setiap orang yang mengikut Rasulullah s.a.w. adalah khalifah baginya, dia menyeru kepada Allah atas bukti yang nyata dan cahaya yang terang benderang. Dari sini kita wajib mengetahui Islam sehingga mampu menjawab segala kesyubhatan yang wujud. Bermula untuk diri, orang lain seterusnya menjawab segala kesyubhatan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :

“Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Rabbnya sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu dan mengikuti hawa nafsunya?” (Muhammad : 14)

“Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah. mereka itu dalam kesesatan yang nyata.(az-Zumar : 22)

“…cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu.” (an-Nuur : 35)

Persoalan yang perlu dijawab!

Cukupkah sekadar memahami, mempelajari dan mengetahui kemudian berakhir segala sesuatu?

Adakah Islam mahukan kita menjadi seorang filosof sahaja, dan semua hubungan kita dengannya hanya semata-mata dengan makrifah dan akal fikiran?

Jawapannya : tidak!

Beramal dengan Islam

Sesungguhnya Islam itu bukanlah semata-mata ilmu pengetahuan, perkataan dan perdebatan. Ketahuilah! Ia mahukan makrifah yang berhubung dengan hati, yang menggerakkan hati dan iradat yang dikatakan Allah s.w.t. pada pemiliknya :
“…Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’(orang-orang yang berilmu)…” (Fathir : 28)

Nabi s.a.w. sendiri memohon perlindungan dari ilmu yang tidak mendatangkan faedah kepada pemiliknya dalam sabdanya yang bermaksud :

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu dari ilmu yang tidak berfaedah, dari hati yang tidak kyusuk, dari amalan yang tidak di angkat, dan dari doa yang tidak dikabulkan.” (HR. Muslim)

‘Umar al-Khattab pernah ditanya mengenai seseorang (munafiq yang alim) katanya : “Ya, lidahnya alim dan hatinya jahil!”

Dalam athar ada menyebut : ‘ilmu itu ada dua, satu ilmu pada lidah maka ia hujjah atas anak cucu adam, dan ilmu dalam hati, maka itu ialah ilmu yang bermanfaat.”

Sesungguhnya Allah telah memberi dua perumpamaan yang sangat buruk dalam al-Quran bagi orang yang tidak mengamalkan ilmunya :

“Perumpamaan orang2 yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya (beramal dgn isinya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (al-Jumu’ah : 5)

Dan firman-Nya lagi :

“Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah kami berikan kepadanya ayat-ayat kami (pengetahuan tentang isi Al Kitab), Kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), Maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat.” (al-A’raf : 175-176)

Oleh itu, kenalilah dan fahamilah tentang Islam dan beramallah dengannya sebelum engkau mengenali kaum muslimin. Kenalilah Islam itu bersandarkan sumber rujukan utamanya sebelum mengenalinya melalui orang yang mengaku islam yang berada disekeliling. Maka, tingkahlaku yang lurus adalah buah pengetahuan yang benar terhadap Islam dan tingkahlaku berbeza dari setiap manusia. Tingkahlaku itu meningkat dan tidak terhenti di sisi satu darjat sebagaimana seorang penuntut meningkat dari Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Universiti hingga ke PHD.

Seorang Muslim adakalanya merasa cukup dalam perkara suruhan. Pada mulanya dengan hanya melakukan yang fardhu-fardhu, kemudian setelah itu berpindah kepada sunat-sunat dan sebahagian nawafil, kemudian Qiamullail dan Ibadah di waktu malam dan seterusnya. Begitu juga keadaannya pada sudut larangan. Mulanya dia meninggalkan perkara-perkara yang haram, kemudian yang syubhat, kemudian makruh kemudian yang harus hanya kerana takut menimbulkan dosa. Itulah keadaan orang yang bertaqwa.

Ketahuilah! “apabila azam itu benar nescaya jalan akan terang…”

Berdakwah kepada Islam

Sesungguhnya tidak cukup seseorang itu sekadar soleh pada dirinya, memperbaiki dirinya dalam masa yang sama membiarkan orang lain. Begitu pula halnya, tidak cukup sekadar beriman dan beramal soleh, bahkan mesti berpesan dengan kebenaran dan menerima pesanan dengannya. Hal ini berdasarkan apa yang difirmankan Allah dalam al-Quran yang bermaksud :

“Demi masa. (1) Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,(2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”(3) (al-‘Ashr : 1-3)

Oleh itu, seawajrnya kita menyiapkan diri dengan segala kelengkapan dalam menghadapi mad’u laksana medan perang berhadapan dengan musuh penuhi dengan strategi yang mampu menundukkan musuh untuk menerima perjuangan yang kita dokong. Ingat baik-baik pesan Luqman al-Hakim ketika menasihati anaknya yang Allah rakamkan di dalam al-Quran :

“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (Luqman “ 17)

Kita seharusnya juga perlu menyedari bahawa jalan dakwah ini pasti ada halangan dan rintangannya. Namun semua itu seharusnya menjadikan kita lebih kuat dan bukan menjadi lemah. Cuba perhatikan adakah dakwah kebenaran yang tidak ditentang? Setiap dakwah pasti ada penentangnya dan mempunyai pembela. Demikianlah halnya yang berlaku kepada para nabi dan rasul serat umat yang terdahulu. Maksud firman Allah s.w.t. :

“Dan demikianlah kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” (al-An’am : 112)

Oleh itu dikatakan : “Sesungguhnya kewajipan generasi muda pada zaman ini ialah mempersiapkan dirinya untuk berdakwah kepada Allah.” Setelah itu akan lahirnya generasi yang akan diikat dengan kefahaman Islam yang sahih untuk bersama-sama berjuang menegakkan Islam yang murni.

Mengikat hubungan atas Islam

Sesungguhnya Islam tidak akan terserlah kebenaran dan keagungannya dalam bentuk perseorangan, bahkan amalan persendirian adalah tidak cukup. Ianya mesti dilaksanakan dalam bentuk jamaah dengan mengikat persaudaraan dan hubungan antara satu sama lain kerana Allah. Berkasih saying kerana Allah, saling menziarahi kerana Allah, berkumpul kerana Allah, berkorban kerana Allah, saling member pemahaman dalam masalah-maslah yang dikongsi bersama sekalipun berbeza jemaah. Maksud firman Allah s.w.t. :

“Adapun orang-orang yang kafir, sebagian mereka menjadi pelindung bagi sebagian yang lain. jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang Telah diperintahkan Allah itu, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar.” (al-Anfal : 73)

Demikianlah empat perkara yang menjadi tanggungjawab para generasi muda pada hari ini yang perlu mereka sedari. Seharusnya mereka memeriksa diri, apakah telah menunaikan hak dan tanggungjawab ini. Kita inginkan satu daulah bagi Islam yang melindungi akidah, syariat, akhlak, kebudayaan, ikatan dan peraturan hidup.

Yakinlah! bahawa Islam pasti akan menang, cumanya jalan menuju kemenangan itu yang perlu ditelusuri dan bukan sekadar menunggu ianya dating bergolek. Jadilah sebahagian dari unsur yang membawa kepadanya (kemenangan) bukan hanya sekadar melihat bahkan bersembunyi dan hanya keluar bila Islam telah memperoleh apa yang dijanjikan Allah. Malulah kepada Allah dan orang-orang yang beriman.

Sedarilah! Bahawa engkau tidak akan mampu mengecapi kemanisan dan hakikat perjuangan yang di bawa oleh para nabi dan Rasul sehingga engkau melalui jalan sebagaimana yang telah mereka lalui. Oleh itu, hendaklah engkau mengambil pelajaran dari sejarah yang dekat dan jauh. Orang yang ingin Berjaya tidak akan Berjaya kecuali bila dia sanggup merintis jalan orang-orang yang telah berjaya.

Islam pernah Berjaya sebelum ini, dan hari ini juga mampu untuk mengulangi sejarah kejayaan tersebut. Semua ini akan mampu dikecapi dengan mengkaji serta merintis jalan-jalan yang telah dilalui oleh mereka suatu ketika dahulu.

wallahu a’lam…