Selamat menghadapi Imtihan akhir semester semua sahabat-sahabat mahasiswa Universiti Darul Iman Malaysia Terengganu yang akan bermula pada 18 April 2010. Sedikit perkongsian dalam fatrah imtihan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan…

IMTIHAN DUNIA VS IMTIHAN AKHIRAT

Maksud Firman Allah s.w.t. :
“Maha Suci Allah yang menguasai segala kerajaan , dan DIA Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan DIA Maha Perkasa, Maha Pengampun.” (al-Mulk : 1-2)

Maha suci Allah, Maha Agung Allah yang menciptkan segala makhluk secara berpasang-pasangan. Siang dan malam, pagi dan petang, besar dan kecil, tinggi dan rendah, baik dan buruk, hidup dan mati, syurga dan neraka, lelaki dan wanita, dunia dan akhirat serta banyak lagi….

Jika kita sama-sama merenung sejenak dan cuba membuat sedikit penelitian dalam ayat ini yang mana Allah s.w.t. mendahulukan kalimah al-maut daripada al-Hayah. Adakah secara kebetulan atau hikmah disebaliknya. Melihat kepada kitab-kitab tafsir kita mungkin akan bertemu dengan jawapan bahawa adalah kerana kematian itu lebih susah dihadapi berbanding kehidupan ini.

Bagaimana pula gambaran di dunia ketika mana kita menghadapi imtihan. Bila mana manusia tahu waktu dan tarikh peperiksaan, maka berlumba-lumbalah para pelajar untuk mengulangkaji, menghafal dan sebagainya sedangkan tarikh itu tidak mustahil boleh berubah dan juga boleh jadi dibatalkan. Dalam masa yang sama kita tahu bahawa imtihan akhirat (kematian) itu suatu perkara yang pasti Cuma masanya kita tidak ketahui… apa pula persediaan kita untuk menghadapinya.

Imtihan dunia kita berbekalkan dengan hafalan, kefahaman dan alat-alat tulis kita, imtihan akhirat pula berbekalkan amalan yang ikhlas lagi bertepatan dengan syariat Allah s.w.t. Persediaan untuk menghadapi imtihan dunia mungkin di kalangan kita telah pun ada yang sempurna kelengkapannya, namun bagaimana dengan keperluan berhadapan dengan imtihan akhirat? Kita fikir-fikirkan…

Natijah daripada imtihan dunia kita akan dapat menilai dan melihat melalui persepsi sebagai manusia bahawa, mereka yang memiliki keputusan yang baik adalah mereka yang lebih baik usahanya dalam belajar dan manakala yang kurang baik adalah mereka yang kurang belajarnya. Begitu jugalah natijah imtihan akhirat. Siapa yang Berjaya melaluinya dengan baik merekalah golongan yang lebih baik amalannya, makanya baginya ganjaran syurga Allah dan manakala mereka yang terkandas pasti bakal terheret ke neraka adalah mereka yang bermain-main dengan kehidupannya. Na’uzubillah…

MARI MENGORAK LANGKAH

Kejayaan kita dalam imtihan dunia akan datang adalah terletak pada usaha dan kesungguhan kita pada hari ini . Begitu pula halnya kejayaan kita dalam imtihan akhirat yang pasti kita hadapi Cuma tidak pasti bila waktunya adalah terletak pada usaha dan kasih saying Allah pada kita. Persoalan utamanya adalah matlamat kita telah pun ada, imtihan dunia untuk lulus dengan cemerlang dan imtihan akhirat untuk memperoleh redha Allah dan ganjaran syurganya jadi, binalah strategi dan disiplinkan diri dengannya serta beristiqomah padanya menuju ke arah matlamat yang ingin dikecapi.
Namun seandainya pada ketika ini matlamat masih kabur, pasti jalannya juga akan menjadi kabur yang akhirnya menggelincirkan kita dari jalan yang sebenar. Oleh itu berwaspadalah kita dengan apa yang ada disekeliling kita. Dunia ini persinggahan sebagai ladang tanaman untuk menyemai benih amalan yang hasilnya bakal kita tuai di akhirat kelak. Imtihan dunia dan imtihan akhirat zahirnya mempunyai persamaan namun hakikatnya ada perbezaan yang mana perbezaan itu hanya mampu dilihat oleh mereka yang memiliki bukan sahaja mata indera yang celik tapi juga mempunyai mata hati yang celik.

Bersungguh dalam membuat persediaan menghadapi imtihan dunia engkau akan dapat hasilnya di dunia. Manakala bersungguh-sungguh membuat persediaan untuk menghadapi imtihan akhirat juga pastinya akan engkau perolehi ganjarannya di akhirat. Namun, ramai orang yang Berjaya dalam imtihan dunia belum tentu Berjaya dalam imtihan akhirat akan tetapi kebiasaanya orang yang Berjaya dalam imtihan akhirat adalah juga mereka yang Berjaya dalam imtihan semasa di dunia dahulu.

من حسنت بدايته حسنت نهايته
“Sesiapa yang elok pada permulaannya lazimnya akan elok juga kesudahannya.”

Salam Imtihan buat semua…

p/s : Usaha, doa dan tawakal dalam segala amal perbuatan insyaAllah mudah-mudahan kita semua dipermudahkan segala urusan… Aameen…