JANGAN KITA TERGOLONG ORANG YANG MERUGI
Kehidupan manusia adalah bergantung kepada penggunaan masanya. Oleh itu, Islam amat mengambil berat tentang masa dan memberitahu manusia bahawa setiap detik masanya adalah amat berharga. Sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya nilai masa dalam Islam dengan Allah sendiri bersumpah dengan masa dalam firmanNya yang selalu didengar;
Maksud Firman Allah s.w.t. :
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” (al-‘Ashr : 1-3)
Dalam ayat di atas Allah bersumpah dengan masa bagi menunjukkan kepada manusia sekaliannya bahawa masa menjadi saksi terhadap berjaya atau gagalnya manusia, untung atau ruginya mereka. Manusia yang berjaya dan beruntung ialah manusia yang memanfaatkannya masanya di dunia (untuk beriman, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya bagi bekalan ke akhirat) dan manusia yang gagal dan rugi ialah manusia yang mensia-siakan masanya.
Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda :
اغتنم خمسا قبل خمس: حياتك قبل موتك، وصحتك قبل سقمك، وفراغك قبل شغلك، وشبابك قبل هرمك، وغناك قبل فقرك
“Manfaatkanlah lima masa sebelum datang lima masa; 1) Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu. 2) Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu. 3) Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu. 4) Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu.. 5) Masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin.”
Manfaatkanlah peluang masa cuti ini dengan sebaiknya. Ilmu itu bukan setakat untuk peperiksaan semata-mata akan tetapi harus diulang-ulang agar faham, kemudian amal dan seterusnya sampaikan…
“Sebaik-baik kamu adalah yang memberi manfaat kepada orang lain…”
SELAMAT BERCUTI, SELAMAT BERAMAL, SELAMAT BERBAKTI, SELAMAT BERKHIDMAT, SELAMAT BERPROGRAM, SELAMAT BERKERJA, SELAMAT, SELAMAT DAN SELAMAT…